Majlis Belia Negeri Terengganu mengucapkan Selamat Menyambut Maulidur Rasul pada 5 Februari 2012 bersamaan dengan 12 Rabiulawal 1433H. MBNT menyeru agar seluruh umat Islam terutama warga belia agar dapat menghayati sejarah perjuangan Rasul kita iaitu Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan syiar Islam.
12 RabiulAwal merupakan hari yang amat bersejarah bagi kita umat Islam seluruhnya yang mana menjadi tradisi dunia Islam merayakannya pada setiap tahun, bagi memperingati kelahiran junjungan besar kita yang kita kasihi sebagai Pesuruh Allah dan penyelamat umat manusia sejagat. Kalau diteliti dari sudut sejarah, 12 Rabiul Awal merupakan hari bertuah yang unggul kepada kita kita umat Islam :-
Pertama : Rasulullah SAW dilahirkan pada 12 Rabiul Awal
Kedua : Rasulullah S.A.W berhijrah dari Mekah ke Madinah pada 12 Rabiul Awal,
tiba di Madinah pada 12 Rabiul Awal
Ketiga : Rasulullah S.A.W wafat pada 12 Rabiul Awal
Sambutan Perayaan Maulidur Rasul merupakan kemuncak dari tanda kasih umat Islam terhadap Rasulullah S.A.W yang tidak ada tolak bandingnya. Rasulullah S.A.W sebagai pemimpin paling mulia di dunia dan akhirat, sebagai pemimpin, sebagai penyelamat alam sejagat dan sebagai pemberi syafaat kepada umat manusia di akhirat sebagaimana kata Imam Al-Bushiry bermaksud,
"Baginda Rasulullah orang yang diharapkan pertolongan syafaatnya di akhirat pada setiap huru hara dari seribu huruhara yang ditempuhi umat"
Tema sambutan pada tahun ini ialah "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah" merupakan tema yang bertepatan benar dengan cabaran dan suasana hari ini yang kita hadapi sekarang. Baginda sangat menekankan aspek ukhwah Islamiah atau persaudaraan Islam tanpa mengira warna kulit atau taraf sosial. Umat Islam diajar tidak menyakiti saudaranya sama ada melalui tangan atau lidahnya.
Akhirnya, sebagai kesimpulan saya menyeru kepada warga belia khususnya, marilah kita mencontohi akhlak Rasulullah SAW seperti maksud Firman Allah SWT,
" Sesungguhnya adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikatan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari Akhirat, serta pula menyebut dan banyak mengingati Allah" Al Ahzab :21
SALAM MAULIDUR RASUL 1433H
Mat Yusof bin Mat Ali
Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu